Kelantan diberi penghormatan untuk muncul sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) buat julung kalinya menerusi penganjuran bagi edisi 2024.

Keputusan itu terhasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 di Putrajaya hari ini.

"Ini kali pertama Kelantan menjadi penganjuran Sukma.

"Ini peluang terbaik buat KBS untuk membina kemudahan (sukan) di Kelantan kerana sudah lama dianak tirikan.

"Peruntukan Sukma ini bukan kecil, iaitu RM2 juta di Perak dan Johor. Ini satu pembangunan sukan buat Kelantan.

"Mereka berhak dan kami gembira untuk berunding dengan mereka," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang ditemu bual wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Kelulusan Kelantan sebagai tuan rumah edisi 2024 akan turut diperincikan menerusi perbincangan di antara kerajaan pusat dan negeri.

Dalam pada itu, profil acara angkat berat Sukma 2020 di Johor akan diperluaskan.

Tujuh acara lelaki dan tujuh acara wanita akan diselaraskan mengikut piawaian pertandingan antarabangsa.

"Akhirnya kami bersetuju untuk mengikut piawaian pertandingan antarabangsa.

"Ia untuk memastikan bahawa kami memberi ruang sepenuhnya kepada atlet angkat berat."