Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyokong sepenuhnya cadangan sukan angkat berat disenaraikan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 selepas disahkan bebas daripada isu doping.

Sebelum ini, lima atlet angkat berat elit negara menjalani ujian doping mengejut Julai lalu dan kesemua sampel yang diambil menunjukkan keputusan negatif.

Ia sekali gus meningkatkan peluang acara itu untuk kembali disenaraikan dalam Sukma tahun depan selepas sekian lama berada dalam senarai menunggu.

"Sebagai presiden MOM, kami menyokong penuh supaya angkat berat dimasukkan ke dalam Sukma kerana apa sahaja yang telah berlaku sebelum ini hanya melibatkan segelintir atlet.

"Ini tidak boleh dijadikan alasan untuk memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan tersebut," katanya.

Sementara itu, Norza mahu mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyelesaikan isu berat badan atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan.

Ia kerana atlet itu masih dianggap sebagai salah satu harapan Malaysia untuk meraih pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ia akan kami bincangkan. Saya akan berbincang dengan Datuk Ahmad Shapawi (Ismail) untuk melihat apa perkara sebenar yang menjadi masalah pengunduran diri (Syakilla), terutama dalam kejohanan (K1) di Jepun," tambahnya.