Insiden positif ujian doping pada 2018 menjadi pengajaran berguna untuk Muhammad Azfar Kamaruddin kembali bangkit pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, tahun depan.

Atlet angkat berat Terengganu itu berkata dia kini lebih berhati-hati dalam isu latihan serta pengambilan makanan bagi memastikan episod hitam itu tidak lagi berulang.

Justeru menurut Azfar, 20, dia memasang misi besar dalam penampilan terakhir di pentas Sukma nanti dengan kilauan pingat emas dan rekod kebangsaan menjadi sasarannya.

Memenangi satu pingat perak dan gangsa di Perak pada 2018, kejayaan Azfar diragut selepas dikesan positif ujian doping sekaligus pingatnya itu ditarik balik.

"Saya berazam merangkul pingat emas selain memecahkan rekod kebangsaan milik Loro Welkinson iaitu angkatan 304 kilogram (kg) dalam acara 81kg.

"Dua tahun lalu saya boleh buat 290kg. Jadi saya harap dapat membalas penyertaan terakhir dalam pentas Sukma dengan kilauan pingat emas," jelasnya.

Kredit foto: Muhammad Azfar Kamaruddin