Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) berharap acara boling padang dapat dijadikan sebagai sukan demonstrasi pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam tahun depan.

Setiausaha Agung PLBM, Supt (B) Syed Zainal Abidin Syed Zain, berkata permohonan itu dibuat berikutan tuan rumah dikatakan tidak mempunyai fasiliti yang mencapai standard antarabangsa, sekali gus menyukarkan untuk sukan berkenaan dipertandingkan.

“Saya difahamkan mereka mempunyai pemain, yang kebanyakan adalah warga asing yang menetap di negara berkenaan, selain fasiliti (gelanggang) yang tidak mencapai standard antarabangsa, iaitu berukuran 40 meter x 40 meter dengan enam ‘rink’.

“Kami sedia menawarkan bantuan teknikal kepada mereka sekiranya diperlukan, tetapi kami berharap sekurang-kurangnya sukan boling padang dijadikan sebagai sukan demonstrasi terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan lapan persatuan sukan; iaitu sambo, kriket, pelayaran, bola jaring, boling padang, hoki dalam dewan, skuasy dan ragbi tujuh sebelah telah menghantar permohonan rayuan.

Kali terakhir sukan boling padang tidak dipertandingkan adalah dalam edisi 2015 di Singapura.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul juara keseluruhan acara itu dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan meraih tujuh pingat emas dan satu perak.

Vietnam dilapor bercadang menganjurkan 36 jenis sukan dengan melibatkan 450 acara pada Sukan SEA 2021 dari 21 Nov hingga 2 Dis.

-- BERNAMA