Sukan SEA: Vietnam ada sebab anjur bina badan -- Shahrul 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 September 2020 61
 Sukan SEA: Vietnam ada sebab anjur bina badan -- Shahrul 
Mohd Shahrul Azman menaruh harapan agar bina badan dipertandingkan dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan sebagai pelantar untuknya membalas dendam. 

Jaguh bina badan dunia itu terpaksa melupakan kesemua kejohanan tahun ini berikutan krisis COVID-19 dan kali terakhir dia mengharumkan nama Malaysia ialah November 2019, iaitu ketika mengungguli Kejohanan Dunia buat kali keempat di Korea Selatan. 

Dia berdepan cabaran tersendiri untuk mengekalkan badan sasanya tetapi memandangkan tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang melarang aktiviti di gimnasium, ototnya menyusut berikutan kadar latihan yang berubah. 

"Sejak Februari lalu saya sudah mengamalkan pemakanan khas. Walaupun semua kejohanan tahun ini dibatalkan, saya masih mengekalkan usaha saya. 

"Walaupun bina badan belum pasti dipertandingkan dalam Sukan SEA, saya tetap kekalkan momentum dengan misi menjuarai Sukan SEA, Kejohanan Asia dan Dunia tahun depan.

"Saya pasti Vietnam mahu menganjurkannya memandangkan mereka mempunyai ramai atlet bina badan.

"Wakil Vietnam sentiasa memberikan persaingan yang sengit dalam kejohanan," katanya yang ditemani Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Kamarulzaman Kadir, di Kelana Jaya sebentar tadi. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment