"Cuaca main peranan penting." Itu yang dititikberatkan oleh atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad, untuk menyesuaikan diri dengan sebarang cuaca yang menjadi faktor perubahan permukaan padang tiruan di venue baru di Kompleks Sukan Bukit Kiara.

Jelas Zalina, permukaan padang tiruan boleh berubah berdasarkan cuaca di mana situasi itu menjadi cabaran yang perlu ditempuh, berbanding dalam Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur apabila skuad negara hanya beraksi di padang rumput.

Dia hanya mahu menyesuaikan diri dengan sebarang cuaca yang berlaku selain perlu sentiasa bersedia untuk berdepan keadaan padang jika terlalu panas atau hujan.

Zalina yang beraksi dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA bagi acara beregu, bagaimanapun, tiada masalah untuk menang 16-15 dalam aksi pertama berdepan skuad pelapis Malaysia.

"Apabila bertukar kepada padang tiruan, aksi kami akan bergantung kepada cuaca.

"Kami perlu peka dengan perkara-perkara seperti ini kerana pusingan dan berat bola akan berubah mengikut cuaca," katanya ketika ditemui hari ini.

Atlet lelaki, Mohammad Syamil Syazwan Ramli, turut senada dengan Zalina sambil menyifatkan permukaan padang yang sedikit beralun tetapi akan beransur rata jika kerap kali digunakan.

Dan mereka menjadikan kejohanan yang telah pun bermula pada hari ini untuk mendapatkan kesesuaian di venue Sukan SEA Kuala Lumpur itu, bulan depan.

"Kepantasan bola tidak mempunyai masalah.

"Cuma permukaan padang ada sedikit beralun.

"Mungkin kerana ia adalah permukaan padang baru, jadi lama kelamaan masalah itu akan hilang," ujar Syamil.