Susulan pengumuman senarai sukan pilihan penganjur Sukan SEA 2021, Malaysia bakal membuat pakatan dengan beberapa negara jiran untuk memberi tekanan kepada Vietnam menyenaraikan beberapa acara prospek emas.

Setakat ini, hanya tiga sukan sahaja sudah menghantar rayuan antaranya kriket, sambo dan juga hoki dalam dewan, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, masih menanti beberapa lagi rayuan membabitkan beberapa sukan yang telah digugurkan oleh pihak penganjur.

Strategi Malaysia adalah untuk membuat pakatan bersama beberapa negara jiran lain untuk memberi tekanan buat Vietnam bagi menyenaraikan kembali acara yang dilihat mampu memberikan kilauan emas buat Malaysia.

"Jika sesuatu rayuan yang sama dilakukan oleh beberapa negara ditambah pula dengan pihak penganjur dapat menyediakan fasiliti serta venue bagi acara tersebut, terdapat kemungkinan sukan tersebut dapat dipertandingkan. Dengan 35 sukan yang bakal dipertandingkan, kami berharap untuk menyenaraikan lebih banyak sukan untuk edisi 2021," kata Naziffudin yang diwawancara oleh wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

Namun keputusan akhir masih tertakluk kepada beberapa faktor, antaranya fasiliti yang mampu disediakan Vietnam untuk acara berkenaan di samping jumlah penyertaan oleh negara terlibat.

"Rayuan pertama akan dilakukan dalam masa terdekat, kami telahpun berbincang dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengetahui sukan mana yang perlu disertakan dalam Sukan SEA sebagai prospek emas negara," katanya lagi.