Impian skuad bola baling negara menyertai Sukan SEA Hanoi di Vietnam, hujung tahun ini, musnah apabila dihalang Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mengesahkan kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap bola baling atas dua faktor.

Penampilan terakhir skuad bola baling negara dalam sukan bertemasya ialah Sukan Asia Indonesia 2018 yang menyaksikan Malaysia menjadi mangsa belasahan apabila tewas kesemua enam perlawanan peringkat liga sepusingan.

"Kami tidak mahu keadaan di mana kami hantar skuad bola balik ke Sukan Asia dan mereka tidak dapat meraih posisi yang baik dan mereka juga tidak membayar hutang kepada MOM.

"Kami tidak boleh beri mereka bertanding dalam Sukan SEA dalam apa pun keadaan hingga mereka langsaikan hutang malah ia juga akan dibawa ke majlis jawatankuasa untuk melihat status mereka sebagai ahli gabungan," katanya di Wisma MOM, hari ini.

FORMATION OF THE SECRETARIAT TEAM FOR THE MALAYSIAN CONTINGENT TO 31ST SEA GAMES VIETNAM 2021 Datuk Haji Hamidin Haji...

Posted by Olympic Council of Malaysia on Monday, March 15, 2021



Walaupun Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) sedia mengeluarkan dana sendiri untuk menghantar pasukan, MOM tetap bertegas dengan pendirian awal.

"Kami tidak mahu ambil risiko dengan menghantar atlet yang tidak boleh berikan saingan.

"Kali ini kami mahu pastikan atlet terbaik untuk mewakili Malaysia," tambahnya.

Sebanyak 31 ahli gabungan MOM dan empat ahli bersekutu akan menghantar senarai atlet dan jurulatih mereka dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet, bermula esok.