Peluang atlet karate negara, S. Prem Kumar, untuk menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo tahun depan hanya akan diketahui selepas dia menjalani ujian imbasan magnetic resonance imaging (MRI) esok.

Ia selepas jaguh negara itu berkemungkinan cedera patah pergelangan kaki dalam sesi latihan.

Dia kemudian perlu menantikan pengesahan daripada Institut Sukan Negara (ISN) mengenai tahap kecederaan dan tempoh pemulihannya.

"Tulang buku lalinya membengkak, jadi tulang itu akan dikikis semula dan ini sudah kali ketiga dia melakukannya (prosedur itu)," kata Timbalan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad, kepada Astro Arena.

"Masa pemulihannya akan ditentukan oleh laporan ISN dan kami akan memperoleh laporan penuh itu esok.

"Saya masih memantau perkara itu dan jika dia perlu melakukan sedikit pembedahan, ia tidak memerlukan waktu yang panjang (untuk pulih)," katanya.

Kejohanan kelayakan itu akan diadakan di Perancis pada Jun tahun depan dan atlet terbaik dalam setiap kategori akan layak ke temasya utama di Tokyo sebulan kemudian.