Peluang untuk mengisi satu lagi slot ke Sukan Olimpik terpaksa dilupakan selepas Kejohanan Gimnastik Antara Benua dibatalkan ekoran pandemik Covid-19 sekaligus menjejaskan persiapan yang sudah dilakukan.

"Semua orang rasa sedih, persediaan mereka tahun ini hanya untuk Sukan Komenwel. Pertandingan yang dibatalkan ini memberi kita peluang untuk masukkan seorang lagi atlet. Dalam situasi sekarang, kita perlu anggap sebagai peluang untuk berlatih kemahiran yang baru," kata jurulatih skuad negara, Ng Shu Wai.

Sementara itu, ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, meluah rasa simpati nasib rakan seperjuangan yang terpaksa melupakan impian untuk ke Sukan Olimpik.

"Ini adalah saingan kelayakan Olimpik bagi rakan sepasukan saya yang lain. Saya juga berasa sedih kerana pertandingan ini dibatalkan.

"Bagi persiapan saya, kejohanan itu merupakan pentas untuk menguji kemampuan saya sebelum saingan Sukan Olimpik nanti," kata Farah.



Farah yang mengalami kecederaan bahu ketika ini sedang menjalani proses pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN).