Selepas empat penampilan dalam Kejohanan Ski Air Dunia, ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, merekodkan catatan terbaik Asia Tenggara hari ini bagi menggantikan catatan peribadinya, 7,320 mata, di sebalik kegagalan bersaing dalam kelompok elit dunia.

Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya itu menyaksikan peluncur berusia 16 tahun berkenaan menamatkan acara tricks terbuka dengan meraih 7,440 mata tatkala wakil dari Amerika Syarikat (AS), Anna Gay, mengunggulinyat dengan pungutan 10.530 mata.

Aaliyah, bagaimanapun, berpuas hati kerana sepanjang penglibatannya dalam Kejohanan Dunia, ini merupakan prestasinya yang paling cemerlang dengan menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Selepas ini, dia bakal menghadapi Kejohanan Asia Tenggara di Bangkok, Thailand, bulan depan.

Selain itu, ia menjadi medan persiapan menjelang Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan ini, namun tidak dapat melakukan dua lagi 'trick' untuk memungut mata yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, juri tetap memberikan permarkahan yang baik buat saya," katanya.

Sementara itu, jurulatih negara, Marian Malaquian, tetap berbangga dengan pencapaian skuad negara yang menamatkan saingan di tempat ke-16 daripada 32 pasukan yang bertanding secara keseluruhan.

"Saya sangat berbangga dengan usaha yang dipamerkan atlet negara. Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-16 daripada 32 penyertaan.

"Ia merupakan satu pencapaian yang baik dan masih ada lagi ruang untuk diperbaiki," kata Malaquaian.