Siti Zalina belum mahu berhenti

Oleh Penulis Jemputan 17 April 2018 103
Siti Zalina belum mahu berhenti
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Siti Zalina Ahmad, tidak bercadang untuk bersara daripada arena boling padang walaupun usianya sudah meniti 39 tahun.
 
Siti Zalina sudah mula beraksi dalam Sukan Komanwel sejak edisi 1998 di Kuala Lumpur tetapi tidak menolak kemungkinan akan kembali bersaing dalam edisi seterusnya, Birmingham 2022.

Sepanjang 20 tahun, Siti  Zalina sudah memenangi satu gangsa dalam acara empat sepasukan ketika Malaysia menjadi tuan rumah, dua emas acara perseorangan di Manchester 2002 dan Melbourne 2006 serta yang terbaru, emas dalam acara berpasangan bersama Emma Firyana Saroji di Gold Coast 2018.

Justeru, dia masih menyimpan azam untuk terus berbakti bersama kem negara selagi khidmatnya diperlukan.

"Setakat ini, saya tiada perancangan untuk bersara. Kita tengok prestasi saya pada masa akan datang macam mana nanti," katanya.

Dalam masa sama, Siti Zalina dan Emma, yang baru sahaja setahun diserap menjadi sebahagian daripada atlet Program Podium, mempertahankan usaha itu sambil menganggap ia relevan dalam menjadi pemacu kejayaan mereka di Gold Coast.

Bagi mereka, banyak bantuan telah pun dihulurkan, termasuk kemudahan berlatih di luar negara serta kepakaran sains sukan yang dianggap penting untuk seseorang atlet ketika bertanding dalam kejohanan kompetitif. 

"Apabila beraksi di luar, kita boleh lihat peningkatan daripada segi kemahiran dan permainan meningkat dengan mendadak," ujarnya.

"Program Podium ini sangat membantu sebab kami ke sana lebih awal, berlatih di luar negara kerana keadaan padang dan cuaca adalah berbeza," tambah Emma.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Comment