Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan penantian dua tahun untuk menewaskan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang ketika meraih pingat emas Kejohanan Keirin Victoria di Australia.

Pelumba berusia 26 tahun itu berkongsi keterujaan dengan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, apatah lagi Azizulhasni dianggap pencabar utama pingat Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Ini kali pertama Shah Firdaus menewaskan Azizulhasni sejak Kejohanan Trek Asia 2019.

Final di Velodrom Antarabangsa Darebin menyaksikan kedua-dua pelumba negara mendominasi sejak pusingan awal.

Azizulhasni, yang diletakkan sebagai prospek pingat Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo memulakan henjutan pada dya pusingan terakhir sambil dicabar Shah Firdaus.

Strategi The Pocketrocketman memulakan henjutan awal tidak menjadi apabila Shah Firdaus memintas pada saat akhir hingga keputusan terpaksa ditentukan menerusi photo finish.

Shah Firdaus dinobatkan juara, Azizulhasni meraih perak sementara Ned Pollard, gangsa.

Kejayaan itu membuktikan Shah Firdaus memiliki peluang baik menggalas tugas prospek pingat acara keirin atau pecut individu Olimpik Tokyo, Julai depan.

"Apabila setiap kali saya dan Azizulhasni ke final, mereka akan melakukan taktikal ketika melakukan pecutan. Saya dan Azizulhasni turut memiliki perancangan dan kami tidak mengira apa yang berlaku dalam perlumbaan tersebut. Taktikal kami berhasil dalam perlumbaan ini," kata Shah Firdaus.

"Saya enggan meletakkan jangkaan yang tinggi dan tertekan kerana saya mahu menikmati perlumbaan dalam Sukan Olimpik di Tokyo nanti."