Juara dunia 400 meter, Salwa Eid Naser, menegaskan bahawa dia "tidak pernah tipu" setelah digantung sementara, menyifatkan tiga ujian dopingnya yang dalam jangka masa 12 bulan sebagai 'perkara biasa'.

Naser telah digantung menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Integriti Atletik (AIU) minggu ini.

Atlet kelahiran Nigeria, Naser beralih kewarganegara kepada Bahrain enam tahun lalu dan memenangi emas dalam acara 400meter dalam Kejohanan Dunia di Doha Oktober lalu.

Berbicara menerusi video secara langsung di Instagram, atlet berusia 22 tahun itu berkata: "Saya tidak pernah menjadi penipu. Saya tidak pernah mahu melakukan perkara sedemikian.

"Saya hanya lewat menjalani ujian sebanyak tiga kali, ia adalah sesuatu yang normal. Ia pernah berlaku. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Saya tidak mahu orang keliru dalam hal ini kerana saya tidak akan pernah menipu.

"Tahun ini saya mengambil ujian doping, Kami masih membincangkan mengenai ujian sebelum ini sebelum Kejohanan Dunia berlangsung.

"Mudah-mudahan, ia dapat diselesaikan kerana memberikan imej buruk kepada saya, namun perkara ini telah pun berlaku.

"Saya tidak akan pernah mengambil bahan bagi meningkatkan prestasi. Saya percaya kepada bakat, dan saya mengetahui saya memilikinya."

Undang-undang World Athletics menetapkan bahawa atlet bersalah jika gagal melengkapkan tiga ujian doping serta kegagalan melakukannya dalam tempoh 12 bulan dan digantung selama dua tahun daripada menjalani sebarang pertandingan.