Hari kedua Sukan Sabah (SAGA) kali ke-9 menyaksikan Kota Kinabalu mendahului kontinjen-kontinjen lain apabila mengumpul 10 pingat termasuk tiga emas setakat ini.

Dua daripada emas yang diraih mereka adalah menerusi acara golf manakala satu lagi daripada gelanggang badminton.

Sementara itu, Kota Marudu yang meraih dua emas dalam acara berbasikal semalam gagal menambah pingat pada hari ini dan mereka kini diekori rapat oleh kontinjen tuan rumah, Keningau, yang mengumpul dua emas menerusi acara badminton serta berbasikal.

Di kedudukan keempat dan kelima pula menyaksikan Putatan serta Tawau masing-masing mengumpul satu emas, satu perak dan satu gangsa manakala Tenom di kedudukan keenam selepas mengumpul satu emas serta satu gangsa.

Hari ketiga esok bakal mempertandingkan 19 lagi emas iaitu bagi acara pencak silat (6), berbasikal (4), Petanque (4), olahraga (3) dan sepak takraw (2).

*Kredit Imej Jabatan Penerangan Sabah