Selepas berkampung selama 30 hari dalam program Road to Tokyo (RTT), barisan atlet kini dibenarkan untuk menjalani rutin harian seperti biasa.

Walaupun cuti yang diberikan sempena persediaan Sukan Olimpik Tokyo 2021 itu amat singkat, namun ia sudah memadai untuk mereka.

Rata-rata atlet meraih banyak perkara positif daripada program itu, antaranya meningkatkan tahap disiplin diri selain prestasi mereka yang semakin merundum ekoran sudah lama tidak berlatih.

"Saya belum pernah sertai program seperti ini, ini detik yang boleh menaikkan semangat kami menjelang ke Tokyo kelak," kata pemenang pingat perak 50m gaya bebas s6 Para ASEAN 2017, Muhammad Nur Syaiful Zulkifli.

Juara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli, pula akur terpaksa berkorban apabila patuh dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Di sini, saya boleh bersama kawan-kawan.

"Cuma ada masanya saya berasa sedikit bosan kerana tidak dapat keluar selain tidak dibenarkan memesan makanan dari luar," katanya.

Menurut pemenang dua perak dan satu gangsa Sukan Asia 2010 dan 2014, Ooi Tze Liang: "Walaupun perlu mematuhi SOP tetapi saya bersyukur kerana dapat berlatih."

Dalam masa yang sama, syarat yang dikenakan membolehkan atlet untuk meningkatkan tumpuan dan pemanah kebangsaan yang meraih perak dalam Kejohanan Dunia 2019, Khairul Anuar Mohammad, berpandangan: "Kami dapat lebih fokus terhadap latihan.

"Kami perlu patuhi SOP, tidak dapat keluar selain pergerakan yang terhad.

"Ini semua sudah menjadi rutin baru buat kami."

Secara keseluruhannya, seramai 57 atlet daripada 14 jenis sukan terlibat dalam latihan fasa pertama yang mengobarkan semangat mereka untuk mewarnai saingan Sukan Olimpik Tokyo 2021.