"Jangan pertikai jumlah RM22.5 juta."

Itu peringatan bekas presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Jaafar, mengenai suntikan dana Program 'Road to Tokyo' yang dianggap mahal kerana hanya membabitkan tempoh lapan bulan.

Tunku Imran mengakui Malaysia sudah melaburkan jutaan ringgit khususnya membabitkan program sukan negara namun pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik masih belum kunjung tiba.

Terbaru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan jumlah terbaru untuk program Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah bernilai RM22.5j sebagai persediaan fasa akhir atlet yang akan bersaing dalam temasya itu, bermula Januari sehingga Ogos.




Baginya, setiap dana yang dikeluarkan adalah ibarat pelaburan dan jumlah yang dikeluarkan Malaysia masih dianggap kecil jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang telah menuai hasilnya.

"Usah pertikai berapa jumlah dana yang diperuntukkan dan keputusannya kelak adalah perkara berlainan.

"Apa yang membezakan persiapan akhir ini ialah kekuatan mental dalam menentukan sama ada atlet itu cukup dahagakan kejayaan atau tidak," katanya ketika ditemui dalam majlis penajaan bernilai RM100,000 di antara Sekolah Antarabangsa Melaka (UUMISM) dan Sport Excel bagi penganjuran Kejohanan Jelajah Golf Remaja Malaysia 2020.

Sementara itu, Tunku Imran turut optimis bakal ada penambahan beberapa atlet dalam rombongan ke Jepun menjelang tamat tarikh kelayakan ke Sukan Olimpik, Jun depan.

Antaranya, pemain golf, Gavin Kyle Green yang di posisi terbaik untuk layak secara merit buat kali kedua berturut-turut.


Kredit imej: UUMISM Melaka