Tidak kira jurulatih, atlet mahupun sesiapa yang melanggar garis panduan latihan Program Road to Tokyo (RTT), Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan fikir dua kali untuk membatalkan latihan intensif yang dicadangkan bermula 1 Jun depan ketika dunia dilanda wabak novel koronavirus (Covid-19).

MSN mengadakan sidang video bersama 12 persatuan sukan yang terlibat dengan Program RTT untuk memperhalusi cadangan yang bakal dibentangkan.

Setakat ini, perancangan program sempena Sukan Olimpik Tokyo 2021 itu memberi gambaran seramai 290 orang akan terlibat dan dipecahkan kepada tiga kluster, iaitu di Bukit Jalil, Bukit Kiara dan Jeti Kuah, Langkawi.

"Kalau kami dapati ada pelanggaran dalam prosedur operasi standard (SOP), maka program latihan mereka akan dihentikan.

"Inilah pra-syarat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan SOP dipatuhi," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, kepada wartawan Nadi Arena, Wan Muiz Wan Aziz, hari ini.

Organisasi itu juga memberi pilihan kepada atlet serta jurulatih yang berkeluarga untuk mengikuti latihan Program RTT ataupun berlatih sendiri terlebih dahulu.

Tambahnya: "Kami akan keluarkan surat untuk mereka memasuki kem, kalau (ahli keluarga) mereka berasa selesa dan selamat selain mahu meneruskan latihan secara terperinci maka mereka perlulah mengisi borang persetujuan.

"Sekiranya tidak berasa selesa, mereka mempunyai ruang untuk tidak memasuki kem latihan yang dirancangkan ini."

Sementara itu, MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyokong keputusan untuk membiarkan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom, supaya meneruskan latihan di Melbourne, Australia terlebih dahulu.

Bagaimanapun, keputusan itu hanya bergantung kepada keadaan semasa dan mungkin berubah jika keadaan di Malaysia serta seluruh dunia beransur pulih.

"Memandangkan kelonggaran perintah berkurung oleh Kerajaan Australia membabitkan aktiviti di luar rumah, mereka merancang untuk menjalani aktiviti di velodrom terbuka.

"Jurulatih, John Beasley, telah berusaha dengan baik bagi memastikan kecergasan atlet menerusi aktiviti gimnasium yang dibina di kediamannya.

"Dengan atlet yang berpangkalan di Malaysia mematuhi perintah kerajaan, di Melbourne pula program mereka tetap berjalan ," kata Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill.