Perenang negara, Ng Jing Fu, sanggup menempuh perjalanan lebih dua jam setiap kali berlatih di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebelum terpilih antara empat wakil negara yang akan membawa cabaran dalam Kejohanan Renang Remaja Dunia di Budapest, Hungary, bermula Selasa ini.

Pelajar Kolej Matrikulasi Selangor di Banting itu sanggup berkorban demi pelajaran dan sukan.

Dia berlatih seawal jam 6 pagi dan empat kali seminggu demi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia 2019.

Setakat ini, pengorbanannya membuahkan hasil.

Jing Fu memegang rekod kebangsaan dalam acara 100m kuak dada dengan catatan 1 minit 2.34 saat.

Berdasarkan keputusan 2017, catatan itu sepatutnya mampu melayakkannya ke separuh akhir.

"Segalanya bergantung kepada kekuatan mental.

"Anda perlu memberikan tumpuan yang terbaik dan membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi kejohanan.

"Lebih baik bagi saya berehat selama 10 bulan daripada menyertai sebarang kejohanan untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran sebelum beralih kepada persiapan untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia," katanya.

Turut disandarkan harapan, pemenang tujuh emas Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019, Khiew Hoe Yean.