Sebanyak 44 pasukan mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan (National 7's) 2019 yang akan berlangsung di Padang Ipoh, hujung minggu ini.

Kejohanan tahunan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) itu mempertandingkan lima kategori, iaitu Men Core, Men Qualifier, Terbuka Wanita serta Lelaki dan Wanita B-20.

Lapan pasukan terbaik edisi tahun lalu akan bermain dalam kelompok utama atau Men Core manakala kategori Men Qualifier menampilkan tujuh pasukan, Terbuka Wanita (sembilan pasukan) dan Lelaki B-20 (13).

Kejohanan itu menjadi landasan bagi pemilihan pemain yang berbakat menyarung jersi kebangsaan serta pemilihan pengadil ragbi yang berpontensi untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Bersempena kejohanan itu juga, KRM dengan kerjasama Badan Ragbi Dunia (World Rugby) akan mengadakan Kursus Match Day Controller (MDC) untuk melahirkan lebih ramai pegawai teknikal kejohanan kepada ahli gabungan KRM.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, akan berangkat menyaksikan perlawanan akhir kejohanan dan seterusnya menyampaikan hadiah.