Ragbi: KRM ikut saranan MSN rangka program jangka panjang

Oleh Muzaffar Musa 1 Jun 2020 85
Ragbi: KRM ikut saranan MSN rangka program jangka panjang
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengorak langkah bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam membangunkan semula skuad ragbi 7's negara dengan meletakkan Sukan Asia di Nagoya, Jepun pada 2026 sebagai sasaran utama.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, menjelaskan antara faktor skuad 7's negara dirombak adalah untuk memberikan tumpuan kepada pasukan pelapis agar mereka dapat berada di tahap yang matang dalam tempoh enam tahun dari sekarang.

Selain itu, rata-rata kejohanan sepanjang tahun ini turut dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

"Kami sudah berbincang dan MSN mencadangkan supaya kami mengadakan satu perancangan jangka panjang yang baru," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Halizah Hamzah.

"Oleh kerana Sukan SEA 2021 di Vietnam dan Sukan SEA 2023 di Kemboja berkemungkinan tidak mempertandingkan sukan ragbi 7's, MSN mencadangkan program itu menyasarkan Sukan Asia 2026."

Dalam masa sama, KRM dan MSN tidak akan meminggirkan pemain-pemain sedia ada dengan kontrak mereka yang sepatutnya tamat pada Disember depan akan dipanjangkan selama tiga bulan lagi.

Bagi Shahrul Zaman, kudrat pemain negara memiliki kualiti eksport yang dipandang tinggi oleh pasukan dari luar negara.

"Kami mencuba untuk meletakkan mereka dalam pasukan profesional kerana pengalaman yang dimiliki mereka selepas empat tahun dalam program kebangsaan sudah pasti membantu mereka.

"Dan selayaknya mereka ke satu tahap yang lebih tinggi bersama pasukan profesional dan sebagainya," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Comment