Legenda pecut negara, Datuk Rabuan Pit, kini dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur angioplasti hari ini susulan mengalami sakit di bahagian dada beberapa hari lalu.

Rawatan itu berjalan lancar dan memberikan kelegaan kepada Rabuan, yang mengalami gejala itu selepas perjtermuan dengan keluarganya di Kuala Pilah.

Sebelum itu, dia terpisah dengan keluarganya selama tiga bulan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Terdapat satu bengkak di dada dan ia tersumbat. Doktor telah mengambil tindakan untuk meletakkan 'stent' dan 'balloon'.

"Keluar sahaja daripada bilik rawatan, saya berasa lega dan selesa berbanding sebelum ini, di mana saya berasa berat di bahagian dada serta pernafasan yang terhad," katanya.

Pencapaian tertinggi Rabuan adalah memenangi pingat emas Sukan Asia di New Delhi pada 1982.

Selepas 38 tahun, masih belum ada mana-mana atlet yang mampu menyaingi pencapaiannya, yang pernah mendapat gelaran 'lelaki terpantas Asia.

Hingga ke hari ini, dia masih menunggu untuk melihat ada atlet negara yang mampu mencabar di peringkat Asia.

"Dalam Sukan SEA, atlet (negara) mempamer prestasi yang bagus tetapi di peringkat Sukan Asia, atlet negara sukar untuk mencabar.

"Jadi, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) harus mengambil tindakan susulan untuk mencari cara terbaik bagi mengulangi zaman kegemilangan negara," tambahnya.