Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, akhirnya membawa sinar buat skuad terjun negara apabila meraih pingat emas acara 10 meter individu wanita dalam kejohanan terjun Piala Dunia sebentar tadi.

Atlet berusia 28 tahun itu mempamerkan terjunan bertenaga dan menyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan.

Penerjun tuan rumah, Matsuri Arai mengumpul 342.00 mata untuk pingat perak manakala Caeli Mckay dari Kanada meraih gangsa dengan 338.55 mata.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.



Sementara itu, nasib tidak menyebelahi bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong hari ini apabila menamatkan saingan di tempat tercorot pada separuh akhir dengan 237.35 mata, berbanding semalam beliau mempamerkan aksi cemerlang mengungguli peringkat kelayakan dengan 345.30 mata.

Bagaimanapun, Jun Hoong masih boleh mengukir senyum setelah berjaya meraih tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.