Piala Dunia Boling: Natasha mara ke suku ketiga

Oleh Staff Writer 22 November 2019 568
Piala Dunia Boling: Natasha mara ke suku ketiga
Natasha Roslan berjaya mara ke pusingan ketiga dalam kategori wanita Kejohanan Piala Dunia Boling Tenpin QubicaAMF ke-55 di Pusat Boling di Palembang, Indonesia, hari ini selepas menduduki tempat kedua dalam saingan pusingan kelayakan.

Wakil negara berusia 23 tahun itu memberikan saingan hebat terhadap Kelly Kulick, sebelum pemain veteran dari Amerika Syarikat itu berjaya meraih kemenangan dengan 6,725 jatuhan pin dalam 32 game, di hadapan Natasha yang membuat 6,719 jatuhan pin.

“Semuanya berjalan dengan baik hari ini, saya masih dalam kelompok pemain yang beraksi dengan baik yang mara ke suku akhir, tapi esok adalah hari yang penting, semua aksi baik saya sejak lima hari lepas akan jadi sia-sia sekiranya gagal diteruskan esok,” menurut Natasha dalam satu kenyataan yang dikeluarkan penganjur.

“Kini saya bukan sahaja perlu terus konsisten, tapi perlu pergi lebih jauh lagi. Saingan peringkat ini lebih mencabar, tidak ada perlawanan yang mudah,” tambahnya.

Seorang lagi pemain boling negara Adrian Ang, terlepas peluang untuk menyertai kelompok lapan terbaik yang melangkah mara dalam kejohanan, selepas menduduki tempat ke-14 daripada 24 pemain, dengan 6,522 jatuhan pin.
 
Atlet berusia 31 tahun itu menyalahkan diri sendiri yang gagal menampilkan permainan yang baik, walaupun bermula dengan baik pada tiga game pertama.

“Saya telah cuba membuat yang terbaik, tapi masih gagal untuk cemerlang. Saya hanya dapat salahkan diri sendiri, kerana gagal beraksi dengan baik dalam empat hari pertama kejohanan,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment