Piala Agong: Terengganu dituntut jaga disiplin

Oleh Tengku Danish Bahri   22 November 2019 256
Piala Agong: Terengganu dituntut jaga disiplin
"Jaga disiplin dan kekal fokus," itu pesanan jurulatih skuad ragbi Terengganu, Izaimi Zainuddin, menjelang aksi final Piala Agong menentang juara bertahan, Sabah, di Serdang esok.

Menurutnya, dia tidak mahu layangan kad merah ke atas pemain tonggak, Lawrence Petrus, kelmarin berulang dan hampir mengakibatkan kekalahan Terengganu.

Justeru, Izaimi menuntut skuad bimbingannya mengekalkan disiplin taktikal serta mengikut perancangan pasukan bagi memastikan kejuaraan pertama wakil Pantai Timur itu.

Juara bertahan, Sabah, begitupun masih dianggapnya berkelebihan selepas mendapat 'bye' dan kemudian bernasib baik menang mudah dalam suku akhir serta separuh akhir.

"Pemain-pemain menunjukkan semangat luar biasa untuk layak ke final walaupun kekurangan pemain.

"Saya lihat Terengganu mampu menjuarai Piala Agong dengan syarat jaga disiplin dan ikut taktikal," jelas Izaimi.

Rabu lalu, Terengganu mengesahkan slot ke final selepas mengalahkan Johor dalam aksi dicemari insiden kad merah kepada Petrus pada awal babak kedua.

Kedua-dua pasukan terikat 31-31 sebelum Terengganu memperoleh mata kemenangan pada minit ke-79 menerusi penalti, sekali gus mengulangi final edisi 2014 dengan Sabah.

"Menang kelebihan satu mata pun dah cukup dan saya harap pemain-pemain kekalkan semangat kerana Terengganu sudah mara sejauh ini," tambah Izaimi.

Kredit foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Comment