Salah satu daripada finalis tahun lalu, Sabah atau Kelantan, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada perebutan Piala Agong 2019 apabila bertemu sesama sendiri dalam separuh akhir di Padang A, UPM, Serdang petang ini.

Sabah, yang turun selaku juara bertahan, diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan manakala Kelantan merupakan naib juara tahun lalu.

Begitupun, juara Borneo itu, yang turun kali pertama dalam kejohanan edisi ini, nyaris berputih mata apabila diberikan tentangan sengit oleh ATM sebelum menang 14-12 dalam suku akhir.

Kelantan pula membelasah Kedah 50-10 untuk ke separuh akhir.

Sementara itu, Terengganu akan bertemu Johor dalam satu lagi aksi separuh akhir petang ini.

Pertemuan itu pastinya menjadi pentas buat pasukan Harimau Selatan itu menebus kekalahan 25-36 kepada Terengganu dalam pusingan awal Liga Premier, 5 Oktober lalu.

Terengganu ke separuh akhir selepas menundukkan Kuala Lumpur 42-17 manakala Johor mengecewakan ATM 28-14.