Pengusaha padang komersial lega dibenarkan beroperasi semula

Oleh Bernama 11 Julai 2020 110
Pengusaha padang komersial lega dibenarkan beroperasi semula
Keputusan kerajaan membenarkan pengusaha-pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, kemudahan sukan dan akademi kembali beroperasi semula bermula Rabu depan dilihat sebagai peluang terbaik untuk merancakkan semula kepesatan aktiviti bola sepak amatur tempatan.

Beberapa pengusaha padang komersial melihat keputusan kerajaan itu membantu mereka menjana kembali pendapatan yang terjejas teruk susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sdn Bhd, Khairulnizam Bakeri mengakui, keputusan terbaharu kerajaan itu jelas memberi kelegaan kepada pihaknya yang terpaksa menutup dua kemudahan sejak Februari lalu, iaitu satu padang di Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Bharu serta tiga padang di Rhino KV Arena, Shah Alam, sekali gus menanggung kerugian kasar mencecah RM1.2 juta.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan pihaknya telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan juga Majlis Keselamatan Negara termasuk penjarakan sosial dan tiada perhimpunan secara besar-besar.

“Kita sudah menyediakan SOP ini sejak dua bulan lepas, dan kita akan sebarkan ke semua platform media sosial kami dan e-mel, dan semua pemain serta pegawai pasukan yang telah membuat tempahan diwajibkan mematuhi SOP berkenaan yang dibuat berdasarkan saranan daripada pihak berkuasa.

“Kita tidak berdepan masalah untuk membuat pemantauan pematuhan SOP memandangkan nama mereka yang membuat tempahan sudah didaftarkan dalam sistem rekod kami. Setakat ini, kita hanya membenarkan pemain dan pegawai terlibat sahaja untuk menggunakan kemudahan kami, manakala penyokong masih tidak dibenarkan masuk,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pandangan sama turut disuarakan Pengarah Arena Legacy Sdn Bhd, Nadzry Abu Bakar yang melihat keputusan terbaharu kerajaan itu umpama memberi ‘nafas baharu’ kepada syarikat berkenaan yang terpaksa menanggung kerugian kasar mencecah RM2 juta susulan pematuhan kepada PKP.

Beliau mengakui sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan sebaik sahaja kerajaan memberi lampu hijau kepada pengusaha padang komersial untuk beroperasi seperti biasa.

“Bagi saya, ia keputusan terbaik walaupun sebenarnya kita mengharapkan kerajaan dapat meluluskan permohonan kita lebih cepat daripada 15 Julai, namun kita tetap bersyukur dengan keputusan itu.

“Walaupun sudah mendapat permintaan luar biasa daripada pemain bola sepak amatur, kita sedang memperkemaskan SOP sedia ada sebelum kemudahan kita dijangka beroperasi semula pada pertengahan Ogos," jelas Nadzry.

Arena Legacy Sdn Bhd mempunyai lima padang komersial, masing-masing dua padang di Arena 26, Shah Alam dan Radia Arena, Bukit Jelutong, selain satu padang di Gardens Arena, Sungai Buloh, dan kebanyakan kemudahan berkenaan digunakan untuk saingan Liga Sosial, Liga Komuniti serta Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media, mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan pengusaha-pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, kemudahan sukan dan akademi kembali beroperasi semula bermula 15 Julai ini.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Comment