Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWFR), Khairy Jamaluddin, sedia bertanding untuk merebut jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sekiranya dibenarkan untuk mengemukakan pencalonan semula.

Kemelut mesyuarat agung tahunan (AGM) MPM masih tidak berkesudahan apabila proses pemilihannya ditangguhkan semalam.

Buat masa ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu masih menunggu keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MPM untuk memutuskan status pencalonannya dan tarikh baru pemilihan badan induk itu.

Beliau berharap proses pemilihan itu akan berjalan lancar selepas tarikhnya diputuskan.

"Lima pencalonan yang lewat itu tidak diterima.

"Saya menerimanya dan jika saya tidak dapat bertanding, ia tidak mengapa.

"Tetapi sekiranya mereka membuat keputusan untuk membuka semula pencalonan selepas mesyuarat ditangguhkan, saya akan menghantar semula pencalonan saya.

"Jadi, ia tidak akan menimbulkan apa-apa isu," katanya.

Bagaimanapun, Khairy enggan mengulas kenyataan seorang lagi calon presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, yang membidas penangguhan pemilihan itu.

"Saya tidak mahu mengulas apabila kata-kata yang kesat digunakan dalam pemilihan badan sukan negara.

"Lebih baik kita serahkan kepada ahli-ahli gabungan untuk membuat keputusan.

"Saya juga ada baca kenyataan yang dikeluarkan pihak mereka yang menggunakan bahasa yang kurang sopan.

"Saya rasa ini boleh mencemarkan (pemilihan).

"Saya tidak mahu sebarang pertikaian, jadi kita ikut apa yang diputuskan dalam mesyuarat agung semalam," tambahnya.