'Ia pelaburan berbaloi', itu rumusan di sebalik tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, bagi membantu Cheong Jun Hoong layak ke Sukan Olimpik.

Kejayaan Jun Hoong dalam mengesahkan slot secara merit ke Tokyo hadir selepas setahun enam bulan dibimbing Zhuliang.

Jun Hoong muncul atlet ke-13 negara mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat pertama dalam Kejohanan Terjun Siri Piala Dunia di Tokyo.

Ini bermakna, Zhuliang akan terus membimbing Jun Hoong sehingga ke Olimpik sebelum statusnya bersama juara dunia 2017 itu akan diputuskan kelak.

Untuk rekod, Jun Hoong mula menjalani latihan berasingan dengan bekas jurulatih negara itu di China penghujung 2019 sebelum terpaksa pualng menjalani latihan di tanah air ekoran pandemik Covid-19.

"Kami telah melantik Zhuliang bagi melatih Jun Hoong untuk kembali ke tahap terbaik sekaligus berjaya layak secara merit ke Sukan Olimpik," kata Pengarah bahagian atlet MSN, Jefri Ngadirin.

"Ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi apabila ia diterjemahkan menerusi persembahan dipamerkan Jun Hoong dalam sesi kelayakan."