Sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) di sekitar Lembah Klang tamat bakal menjadi detik penentu sama ada Kejohanan Olahraga Under Distance akan dilangsungkan atau tidak.

Kejohanan itu merupakan peluang terbaik atlet-atlet negara sebagai pentas pemanas badan menjelang pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Bagaimanapun, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mendedahkan 27 Oktober depan iaitu hari terakhir PKPB dilaksanakan bakal menjadi tarikh penentu kepada penganjuran kejohanan di Bukit Jalil itu sejak Mac lalu.

"Kedudukan Kejohanan Under Distance akan dijalankan (dibincangkan) selepas 27 Oktober.

"Saya harap tiada masalah (untuk kami menganjurkannya tetapi kalau ia ditangguhkan, kami terpaksa akur.

"Selepas lapan bulan atlet tidak menyertai sebarang kejohanan, mereka pasti ambil kesempatan ini untuk (mengobarkan) semangat bagi kelayakan Sukan Olimpik," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu, terhadap kejohanan yang akan disertai atlet kebangsaan, sekitar Lembah Klang dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu.

Beliau juga menjelaskan penganjuran Kejohanan Terbuka Malaysia, yang menawarkan mata ranking dunia dan had kelayakan Sukan Olimpik, pada 11 hingga 13 Disember depan masih dalam perancangan.

"Saya harap atlet boleh menimba sedikit pengalaman apabila menyertainya."