Keputusan jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, untuk berlatih di bawah kendalian jurulatih berbangsa Jerman, Jan May, meningkatkan keyakinannya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.

Ia selepas atlet kelahiran Johor itu memecahkan rekod dalam dewan kebangsaan baru-baru ini.

Nauraj kian serasi dengan sentuhan May, yang mula membantunya sejak Oktober lalu.

Menariknya, May juga merupakan jurulatih buat pemegang rekod 110m lari berpagar negara, Rayzamshah Wan Sofian, sejak 2010.

Perubahan latihannya menghasilkan keputusan positif apabila Nauraj meraih pingat perak Kejohanan Dalam Dewan Austria minggu lalu selepas merekodkan lompatan berketinggian 2.20m.

Catatan itu mengatasi rekod dalam dewan kebangsaan miliknya sendiri, 2.19 meter, yang dilakukannya pada 2019.

Ia merupakan kejohanan sulung Nauraj sejak Sukan SEA Filipina 2019, sekali gus menunjukkan masih ada sinar untuk dia melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, 2.33 meter.

"Empat bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya berada di Malaysia dan saya tersekat di rumah saya di Johor Bahru," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Amat sukar untuk saya berlatih dan apabila saya tiba di sini, saya perlu memulakannya dari mula bersama jurulatih Jan.

"Dia memberikan banyak tumpuan dan dedikasi untuk saya dan membantu saya memperbaiki perkara asas sebelum perlahan-lahan meningkatkan saya secara teknikal.

"Ia satu proses yang benar-benar baru dan sentuhan yang amat berbeza daripada segi kejurulatihan yang saya tidak biasa sebelum ini.

"Perkara baiknya adalah saya fikir ia memerlukan masa untuk saya menyesuaikan diri dan ia amat baik setakat ini," katanya.