Peluang atlet olahraga negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 semakin tipis jika atlet-atlet tersebut masih tidak berpeluang untuk kembali berlatih secara intensif.

Sebelum ini, Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF) mengumumkan kelayakan trek dan balapan temasya di Jepun itu ditangguhkan sehingga 1 Disember depan berikutan wabak COVID-19.

Atlet yang sudah melayakkan diri akan mengekalkan kelayakan merit tatkala temasya itu yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad negara, Manshahar Abdul Jalil, menegaskan atlet negara lebih berpeluang untuk melayakkan diri ke temasya itu jika memulakan latihan dari sekarang.

"Kalau dalam tempoh enam bulan ini atlet dapat berlatih secepat mungkin, Insya-Allah saya rasa kemampuan atlet negara dapat diketengahkan sebaik mungkin.

"Kalau diikutkan, persiapan sudah pun terlambat memandangkan kitaran Sukan Olimpik adalah empat tahun.

"Jadi kami mempunyai masa selama empat tahun setengah dan kalau boleh selewat-lewatnya bulan depan kami dibenarkan berlatih," katanya ketika diwawancara wartawan Nadi Arena, Wan Muiz Wan Aziz, hari ini.