Pencapaian pemain tenis Sabah, Nurshaneem Iman Shamsuddin sebagai atlet pelajar di kolej Lees-McRae, North Carolina, di Amerika Syarikat sangat membanggakan apabila memperolehi keputusan GPA 4.0, baru-baru ini.

Selain itu, nama Nurshaneem juga tersenarai dalam President List of Spring 2020 di kolej berkenaan.

Apa yang lebih membanggakan, atlet berusia 21 tahun itu berjaya mengimbangi pencapaian cemerlang akademiknya dengan karier sebagai pemain tenis.

Nurshaneem kini di ranking kedua pemain perseorangan dan ranking pertama acara beregu dalam sukan tenis di kolej itu.

Pencapaian membanggakan Nurshaneem itu turut dikongsi presiden Persatuan Tenis Sabah (STA), Johnson Koh yang sentisa mengikuti perkembangan pemain yang kini di tahun kedua di kolej berkenaan.

Nurshaneem berkata, kejayaannya mengimbangi pencapaian cemerlang dalam akademik dan tenis sehingga ini adalah hasil usaha keras dan sokongan semua pihak terutama ibu bapanya.

Berjinak dengan sukan tenis sejak usia empat tahun, Nurshaneem memilih mengambil jurusan Pengurusan Sukan dengan pengkhususan dalam bidang Kejurulatihan Sukan.

"Lees-McRae College adalah pilihan yang tepat, walaupun saiz sekolahnya kecil tetapi proses pembelajaran dan hubungan antara fakulti dengan pelajar adalah perkara penting dan ianya ada di sini," kata Nurshaneem, baru-baru ini.

Nurshaneem berkata, kelas akademiknya adalah pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari pada Isnin, Rabu dan Jumaat serta 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Selasa dan Khamis.

Dalam latihan tenis pula, Nurshaneem dibimbing bekas leftenan tentera udara, Rodger Acklin, jurulatih yang disifatkannya tegas tetapi sangat memberi semangat sehingga mampu membimbingnya ke tahap yang dia sendiri fikir tidak mampu lakukan.

Tertakluk kepada peraturan NCAA, latihannya hanya dibolehkan pada jam 5.30 hingga 7.30 petang di mana satu jam setengah adalah latihan di gelanggang manakala setengah jam lagi khas untuk penyesuaian diri.

Mereka berlatih lima hari seminggu dengan Sabtu sebagai hari pilihan manakala Ahad adalah masa untuk rehat.

Nurshaneem mendapat tempat di kolej itu selepas cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan SAT di samping potensi baik dalam sukan tenis yang telah mencuri tumpuan jurulatih bertaraf dunia, Nick Bolleteri ketika mengadakan klinik tenis di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Selain sokongan kuat keluarga, Nurshaneem juga dibantu Majlis Sukan Negeri Sabah serta Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah.