Teruja adalah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan perasaan kapten pasukan Negeri Sembilan Venom, Nur Lailatulladhawiyah Che Yahaya, menjelang Liga Super Bola Jaring (NSL) yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Hadir dengan semangat berbeza, ia bakal menjadi saingan sulung selepas dia tidak dapat bersama skuad kebangsaan ekoran kecederaan ligamen lutut yang dialami pada 2019.

Lailatulladhawiyah terpaksa melupakan hajat beraksi untuk skuad kebangsaan dalam Sukan SEA 2019 Filipina selepas lutut kirinya dipalit isu kecederaan ligamen.

Bagaimanapun pemain berusia 24 tahun itu mengambil initiatif berehat dan menjalani sesi pemulihan sehingga mengesahkan dia bersedia kembali ke gelanggang.

"Agak gementar selepas pulih daripada kecederaan, saya hanya menjalani proses pemulihan dan masih belum kembali ke saingan kompetetif, sokongan rakan sepasukan dan jurulatih akan membantu saya untuk kembali beraksi dengan cemerlang," katanya.

Dalam masa sama, dia menjelaskan sasaran menjadi kelompok lima terbaik tampak wajar dengan kekangan menjalani persiapan selain penglibatan seteru yang dianggap memberi cabaran tinggi buat pasukannya.