Pemain boling padang wanita berpengalaman negara, Norhashimah Ismail, sedia untuk menyahut cabaran jika diberikan peluang sebagai jurulatih kerana sudah lama menunggu saat itu selepas dua dekad bergelar pemain.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan jurulatih boling padang, Zuraidi Puteh, mencadangkan Norhashimah sudah boleh diberi peranan dalam kakitangan kejurulatihan berdasarkan pengalaman luas yang dimilikinya.

Norhashimah menjelaskan dia tidak akan menolak jika menerima tawaran, cuma statusnya sebagai atlet Program Podium sehingga 2019 masih menjadi persoalan.

"Jika diberi tawaran sama ada daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Program Podium, tujuan saya selepas bergelar atlet adalah menjadi jurulatih. Jadi, memang itu diidamkan untuk membantu menaikkan sukan boling padang di mata dunia.

"Sekiranya pihak persatuan mencadangkan nama saya, saya akan pergi kerana sudah sampai masa untuk saya menurunkan ilmu kepada pemain muda," kata Norhashimah.

Berdasarkan kelayakan, dia sebenarnya boleh dilantik dalam masa terdekat, namun semuanya bergantung kepada perancangan Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM).

Jika tiada sebarang tawaran daripada kem kebangsaan, dia sedia mendengar mana-mana tawaran pasukan negeri yang memerlukan khidmat jurulatih.

"Saya tidak boleh berhenti mendadak kerana masih memiliki kontrak dengan podium. Jadi, saya perlu menghabiskan kontrak terlebih dahulu. Ia bergantung kepada menteri yang baru untuk melihat sama ada program ini diteruskan atau tidak.

"Jika MSN mengemukakan tawaran untuk mengendalikan barisan pelapis, mungkin saya akan terima," ujarnya lagi.