Skuad olahraga negara berdepan risiko hilang khidmat jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh.

Pemegang rekod kebangsaan itu berhijrah ke Jerman selepas melangsungkan perkahwinan, dua minggu lalu dan akan meneruskan usaha melepasi had kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, dengan ketinggian 2.33 meter sebelum Jun tahun depan.

"Saya baru mengahwini seorang gadis Jerman yang menawan.

"Ia membuatkan saya lebih selesa untuk menetap di Jerman, saya akan memulakan hidup baru di sini.

"Selepas dua dulan berlatih di Jerman, saya kini di tahap yang bagus daripada segi fizikal dan kesihatan," katanya yang melakar catatan terbaik 2.30m dalam Terbuka Singapura pada 2017.

Atlet berusia 28 tahun itu mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan bekas jurulatihnya, Jan May, dalam usaha terakhirnya melepasi had kelayakan temasya Tokyo 2020.

Keputusan itu mendapat sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum dia memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan.

Menurutnya lagi:"Saya cukup berpuas hati dengan latihan bersama jurulatih baru di sini.

"Saya baru menghabiskan fasa latihan ringan dan akan memasuki peringkat spesifik sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan di dalam dewan bermula Disember ini."

Dia kini menghuni ranking ke-47 dunia dengan 32 atlet terbaik akan layak ke Tokyo.

Last week I jumped my way into a new seasons best of 2.26m at the Kurtulus Springer Meeting. It happened to be a height...

Posted by Nauraj Singh on Wednesday, June 12, 2019



Sementara itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan tetap meneruskan Kejohanan Under Distance di Stadium Trek MSN, Bukit Jalil, 7 November depan.

Kejohanan itu akan diadakan dalam skala kecil dengan membabitkan atlet kebangsaan yang sedang menyertai program latihan berpusat.

"Selepas lapan bulan tanpa tanpa pertandingan bertanding, kami akan teruskan hasrat ini," kata Datuk SM Muthu, Presiden KOM.

Tambah ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Mansahar Abd Jalil: "Ia sebagai medan ujian untuk atlet yang berlatih di Bukit Jalil.

"Ia hanya akan melibatkan atlet dan pegawai di sini dan kami juga akan memainkan peranan dalam pelaksanaan pertandingan ini kelak."