Nafiizwan dilantik jurulatih skuasy negara 

Oleh Shaiful Shamsudin 27 September 2020 74
Nafiizwan dilantik jurulatih skuasy negara 
Bekas pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Nafiizwan Adnan, akhirnya menerima lamaran untuk menggalas cabaran sebagai jurulatih skuasy kebangsaan selepas menolak jawatan itu tahun lalu.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro, selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SRAM yang pertama sejurus mesyuarat agung tahunan (AGM) 6 September lalu.

"Kami cukup bertuah bahawa Nafiizwan yang sudah bersara telah menawarkan dirinya sebagai jurulatih.

"Kami masih belum mendapat peruntukan daripada MSN (Majlis Sukan Negara) tetapi mesyuarat jawatankuasa hari ini memutuskan untuk melantiknya dengan menggunakan dana persatuan sebelum kami meminta bantuan daripada mereka," katanya. 



Badan induk itu gagal mencapai kata sepakat untuk membawa masuk bekas pemain perseorangan negara berkenaan tahun lalu atas beberapa faktor tertentu. 

Namun, perubahan pucuk pimpinan SRAM yang menyaksikan Monteiro dilantik sebagai presiden baru selain faktor bekas jaguh skuasy lelaki dan wanita negara, Azlan Iskandar dan Sharon Wee, yang dipilih sebagai timbalan dan naib presiden SRAM berkemungkinan telah mendorong Nafiizwan untuk mengubah pendiriannya.

"Bagi atlet yang tidak melanjutkan pengajian ke universiti, karier kejurulatihan merupakan satu pelantar buat mereka dan SRAM mengalu-alukan kedatangan mereka," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment