Juara bertahan Terbuka AS, Rafael Nadal, mengambil keputusan untuk tidak menyertai kejohanan itu ekoran pandemik koronavirus.

Pemain nombor dua dunia itu telah menghadirkan kebimbangan sama ada bakal berkunjung New York atau sebaliknya untuk saingan grand slam yang bakal dianjurkan tanpa penonton 31 Ogos ini.

Nadal semalam mengesahkan dia tidak bersedia untuk beraksi di Flushing Meadows, beberapa jam selepas Terbuka Madrid disahkan dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

"Selepas berfikir panjang saya mengambil keputusan untuk tidak menyertai Terbuka AS tahun ini. Ia merupakan situasi yang rumit di seluruh dunia, kes Covid-19 yang semakin meningkat, ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dikawal," kata Nadal menerusi Twitter.
Keputusan pemain kelahiran Sepanyol itu menarik diri daripada Terbuka AS bermakna dirinya tidak akan dapat menyamai rekod 20 kali grand slam Roger Federer, di mana legenda Switzerland itu bakal terlepas baki musim ini ekoran pembedahan lutut.