Pengarah teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller, akan tetap meneruskan tugasnya membimbing skuad pecut negara di sebalik keputusan juara Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi, meninggalkannya.

Malah jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu yakin pelari Malaysia masih berpeluang melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, 10.05 saat.

Program latihan Khairul dan Haiqal hanya bertahan selama lapan bulan di bawah kendalian Miller.

Mereka perlu kekal sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mendapat hasil.

Namun, Miller menghormati keputusan kedua-dua pelari pecut itu untuk kembali ke pangkuan jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Poad Md Kassim.

"Saya menerima sebarang keputusan bagi membantu atlet. Perkara paling penting adalah kemajuan atlet untuk mencapai sasaran," katanya.

Untuk rekod, Miller pernah membimbing pelari 400m Amerika Syarikat, LaShawn Merritt selama empat tahun hingga meraih pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Beliau kini bercadang menambah jumlah pelari pecut lelaki dan wanita di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil bergantung kepada kelulusan KOM.

"Sesetengah atlet memerlukan jangka masa panjang dan ada yang jangka masa pendek untuk mencapai tahap terbaik. Bergantung kepada keadaan atlet itu sendiri, perancangan asal adalah memastikan mereka beraksi cemerlang dalam Sukan SEA hujung tahun ini."

Sementara itu, legenda pecut negara kecewa dengan tindakan Khairul dan Haiqal meninggalkan Miller.

Watson Nyambek yang juga bekas pemegang rekod 100m kebangsaan menganggap tindakan itu hanya akan menjadikan mereka sekadar jaguh Asia Tenggara.

"Saya berasakan Malaysia sekadar mampu mencabar Asia Tenggara sahaja kerana di peringkat Asia, ia agak sukar kerana sudah ada pelari pecut Asia yang telah mula melakukan catatan masa bawah 10 saat. Untuk mendapatkan kelayakan ke Olimpik masih lagi jauh, apatah lagi untuk beraksi cemerlang dalam temasya tersebut. Masa diperlukan dilatih bawah kendalian Miller dan meraih pengalaman yang sangat baik daripadanya," kata Watson.

Bagi ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mansahar Abdul Jalil, keputusan KOM membenarkan Khairul dan Haiqal kembali berlatih di bawah kendalian Poad tidak akan mengganggu perancangan yang telah dilakukan sebelum ini.

"Saya melihat secara positif dan ia tidak memiliki sebarang masalah mengenai perkara tersebut. Bagi saya, kita harus melihat secara positif," katanya.

Sementara itu, pelari kelahiran Sarawak, Jonathan Nyepa, memilih untuk terus kekal berada di bawah bimbingan Miller.

"Itu merupakan keputusan mereka dan bagi saya akan kekal berlatih bersama Miller dan mengambil peluang untuk meraih pengalaman di bawah kendalian jurulatih tersebut," kata Jonathan.