Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, kini menjalani kuarantin selepas teman wanitanya disahkan positif Covid-19.

Menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini, Phoong berkata teman wanitanya itu disahkan positif Covid-19 pada 20 Mac lalu.

Katanya, dia bersama teman wanitanya telah pergi menjalani ujian saringan Covid-19 pada 17 Mac lalu.

"Saya menjalani ujian di Hospital Queen Elizabeth (QEH) kira-kira jam 6 petang pada hari sama selepas saya mendapat berita Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii disahkan positif Covid-19.

"Seterusnya saya menjalani kuarantin sendiri, walaupun saya tiada kontak secara fizikal dengan Dr Kelvin ketika bertemu dengannya pada 9 Mac lalu, ia adalah tanggungjawab saya untuk menjalani kuarantin serta melakukan ujian," katanya.

Phoong berkata, pada 18 Mac sehinggalah hari ini, beliau hanya berkerja daripada rumah dan tidak bertemu dengan sesiapa kecuali teman wanitanya yang bernama Jolie Puan.

"Pada 20 Mac, saya telah mendapat keputusan hasil ujian pertama dan ianya negatif, bagaimanapun, teman wanita saya didapati positif Covid-19 pada hari yang sama kerana kami sama-sama menjalani ujian pada 17 Mac lalu.

"Sehubungan itu, saya sambung menjalani kuarantin untuk pusingan kedua kerana saya mempunyai kontak rapat dengan teman wanita saya sepanjang tempoh 17 hingga 20 Mac," katanya.

Tambah Phoong, beliau kemudian menjalani ujian kedua pada hari yang sama teman wanitanya disahkan positif Covid-19 dan keputusan ujian yang diterimanya pagi tadi mengesahkan dia sekali lagi negatif Covid-19.

"Saya mohon doa kalian untuk teman wanita saya yang kini dikuarantin dan menjalani rawatan di hospital, saya yakin dia akan dapat menangani dan 'memenangi pertempuran' ini.

"Jolin, awak akan baik-baik saja dan saya akan selalu berada disisi awak, tidak sabar untuk bertemu dengan awak, saya mencintai awak," luah Phoong di Facebook.