Peluncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, mahu memastikan kedudukan podium dalam Kejohanan Luncur Air Remaja Dunia di Florida, Amerika Syarikat, Ogos depan walaupun berdepan kekangan untuk menjalani latihan berikutan penularan wabak Covid-19.

Ia merupakan hasrat Aaliyah Yoong dalam penglibatan terakhirnya dalam kejohanan di peringkat remaja.

Bagaimanapun, cabaran buat peluncur berusia 17 tahun itu adalah untuk mengekalkan prestasi terbaiknya memandangkan dia tidak dapat meneruskan latihannya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang diarahkan kerajaan.

"Sesi latihan kami dijalankan di tasik awam di Putrajaya.

"Kini sedang berlakunya perintah kawalan pergerakan, jadi kami tidak dibenarkan untuk mengeluarkan bot dan berada di kawasan awam.

"Kami sudah tidak berlatih selama dua minggu," katanya.

Aaliyah Yoong masih optimis untuk meraih podium di sebalik kekangan itu, meskipun dua kejohanan yang sepatutnya menjadi medan pendedahan buatnya, iaitu Kejohanan Persahabatan di Indonesia dan Kejohanan Masters Georgia, terpaksa dibatalkan berikutan pandemik berkenaan.

"Selepas segala-galanya (pandemik Covid-19) tamat, kami perlu berusaha keras untuk berada di prestasi terbaik," tambahnya.