Tiga sejarah tercipta dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) membabitkan wakil negara melengkapkan Sambutan Jubli Perak dalam edisi ke-25 penganjuran perlumbaan berbasikal lebuhraya yang pertama dicetuskan pada 1996 itu.

Pelumba muda dari Setiu, Terengganu, Nur Aiman Zariff, daripada Sapura Cycling (TSC) meletakkan dirinya sebaris dengan dua pelumba negara, Annuar Manan, yang pernah menyarung jersi hijau Raja Pecut pada 2010 dan Adeq Husaini Othman dengan jersi putih Terbaik Asia (2016) selepas unggul menyarung jersi merah Raja Bukit sekali gus muncul atlet sulung kebangsaan meraih gelaran itu.

"Memang tidak menyangka kejayaan ini. Alhamdulillah dapat mencipta sejarah untuk rakyat Malaysia," katanya.

Kejayaan berganda buat TSC apabila pasukan tempatan itu bangkit selepas bermula dengan kurang baik di peringkat pertama di Kuching, Sarawak, apabila Ahmet Orken didenda 2500 Swiss Franc gara-gara tidak memakai jersi juara kebangsaan, namun menutupkan dengan kejayaan gemilang dan menjadi satu-satunya pasukan tempatan berjaya pertahankan gelaran pasukan terbaik keseluruhan serta raih jersi kuning atau juara keseluruhan menerusi Danilo Celano.

Dalam masa sama, kayuhan Harrif Salleh pula menutup mulut pengkritik apabila dia menjadi pelumba Asia pertama meraih tiga kejuaraan podium sejak mula menyertai LTdL pada 2008.

Dua podium di peringkat kelima dan ketujuh menyaksikan anak kelahiran Terengganu itu mengecewakan pelumba berstatus Jelajah Dunia, Maximillian Walschield, di sebalik fizikalnya yang lebih kecil berbanding lawan.

"Memang saya akui telah sampai tahap boleh bersaing dengan mereka. Saya rasa kami sudah setaraf," katanya.

Sementara itu, Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia, esok, yang juga saingan penutup LTdL tahun ini bakal menyaksikan 116 pelumba bersaing bersaing buat kali terakhir dengan jarak perlumbaan sejauh 159 kilometer mengelilingi Pulau Langkawi.

Saingan itu turut tersenarai dalam kalendar antarabangsa Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) diletakkan taraf 1.1, yang pertama diadakan di malaysia.

Bagaimanapun, memasuki pertengahan saingan menyaksikan sekumpulan peloton tidak dapat meneruskan saingan, namun tidak merencatkan kayuhan kelompok pendahulu yang turut mengejar wang kemenangan bernilai RM10,000.

Selepas 3 jam 37 minit 3 saat kayuhan, juara dunia 2008, Johan Le Bon daripada pasukan B&B Hotes Vital Concept akhirnya menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat sambil Jesse Ewart (Sapura Cycling) menduduki tempat kedua dan kedudukan ketiga diraih Lucas de Rossi (Nippo Delko Provence).

"Ia perlumbaan yang mencabar, bersaing di bawah matahari terik dan saya juga tahu kebanyakan pelumba sudah penat mengharungi lapan perlumbaan sebelum ini, jadi saya ambil peluang dan berikan terbaik sehingga ke garisan penamat," ujar Le Bon.


Editor: Nafis Abdullah