Chad le Clos berada dalam keadaan terbaik sebelum SUkan Olimpik terpaksa ditangguhkan akibat wabak coronavirus tetapi dia memberi amaran akan menjadi lebih bersedia untuk ke Tokyo, tahun depan.

Le Clos dijadualkan beraksi pada hari terakhir Kejuaraan Renang Kebangsaan Afrika Selatan pada Khamis lalu tetapi dia terpaksa menjalani proses perintah kawalan di rumah bersama keluarganya.

Olimpian paling berjaya Afrika Selatan, Le Cos, yakin dia sudah bersedia untuk meraih pingat emas di Jepun sebelum saingan Olimpik ditangguhkan empat bulan sebelum tarikh kejohanan.

Namun, dia yang meraih gelaran juara saingan 200 kuak kupu-kupu dalam Sukan Olimpik London 2012, yakin akan berada pada prestasi terbaik untuk beraksi tahun depan.

"Jelas sekali menyedihkan apabila saingan Olimpik terpaksa ditangguhkan tetapi ia sesuatu yang tidak boleh anda kawal.

"Saya bersedia untuk tahun depan dan berada dalam prestasi terbaik. Saya memiliki tambahan 12 bulan untuk menjadi lebih bagus.

"Saya fikir, kini menjadi lebih baik. Beberapa minggu lalu, saya berada dalam prestasi terbaik tetapi kini yakin akan kembali lebih hebat. Diharapkan ia menjadi lebih bagus berbanding di London dan Rio."