Skuad gimnastik artistik Sabah masih meneruskan latihan walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergarakan (PKP) ketika ini.

Bagaimanapun, sesi latihan setiap atlet berkenaan hanya diadakan dirumah dan dipantau oleh jurulatih menggunakan platform media sosial.

Jurulatih gimnastik artisitik Sabah, Liew Tong Ee berkata, adalah penting bagi setiap atlet untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka.

"Walaupun Sukma (Sukan Malaysia) telah ditunda, tetapi kami akan meneruskan latihan kerana saya mahu setiap atlet bersedia pada setiap masa.

"Atlet kita sekarang menjalani latihan di rumah, mereka melakukan regangan badan dan juga latihan fizikal.

"Saya bersama-sama dengan jurulatih lain dan juga pengurus pasukan (Marilyn Buseong) memantau perkembangan mereka menerusi group Whatsapp dan juga panggilan video," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Tong Ee berkata skuad gimnastik Sukma Sabah sempat mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan junior daripada Indonesia seterusnya menjalani latihan pusat.