Bekas jaguh lompat tinggi negara, Loo Kum Zee, meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memulakan pencarian bakat baru mirip program bakat khas yang aktif pada era 1990-an.

Ia susulan keputusan Nauraj Singh berhijrah ke Jerman sementara Lee Hup Wei yang kian dimamah usia.

Program bakat khas yang berpusat di Sekolah Menengah Sultan Abd Aziz Shah, Kajang, Selangor berjaya melahirkan jaguh seperti Roslinda Samsu (lompat bergalah), Nazmizan Mohamad (pecut), Mohd Robani Hassan (110 meter berpagar) dan Noraseela Khalid (400m berpagar).

"Beberapa sukan seperti bola sepak dan hoki sudah mempunyai program tersendiri, mengapa KOM tidak mewujudkan program sendiri?

"Mengapa tidak diteruskan program yang bermula pada 1998 sebelum ditamatkan pada awal 2000-an sebelum ini.

"Walaupun sudah lama, terbukti ia mampu menjadi modal untuk ditiru dan diperbaiki," kata pemenang lima pingat emas Sukan SEA itu ketika dihubungi wakil Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Selepas program itu ditamatkan pada 2006, KOM tidak mewujudkan program baru untuk melahirkan lebih ramai atlet pelapis berbanding hanya bergantung kepada produk sekolah sukan di Malaysia.

"Masa aktif bergelar atlet, media-media hari-hari ada (temu ramah) jadi ia mampu mengingatkan kami tentang pencapaian dan aspek yang boleh kami tingkatkan.

"Setakat ini saya tidak nampak apa-apa program yang jelas oleh membawa cabaran."