Kem latihan 'Road To Tokyo' bebas Covid-19

Oleh Bernama 3 Jun 2020 54
Kem latihan 'Road To Tokyo' bebas Covid-19
Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini boleh menarik nafas legas apabila kesemua individu yang menghadiri kem latihan pusat program ‘Road to Tokyo’ (RTT) bermula Isnin lepas disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata keputusan ujian swab bagi kesemua 24 orang terdiri daripada atlet, jurulatih, atlet sparing, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai sains dan perubatan sukan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi didapati negatif.

Semalam beliau mengesahkan bahawa ujian ke atas 38 individu melibatkan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara negatif bagi virus itu.

“Semua sesi latihan melibatkan kedua-dua pusat latihan ini akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan untuk dipatuhi oleh semua atlet, jurulatih serta pegawai sains dan perubatan sukan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, 146 individu, termasuk 14 atlet dan 26 atlet para, dijangka memulakan kem latihan di MSN Bukit Jalil Isnin depan.

Atlet negara di bawah program RTT, sama ada yang telah layak atau dalam proses melayakkan diri ke Sukan Olimpik mendapat kelonggaran khas daripada kerajaan untuk mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguh ke Julai 2021 dan Paralimpik pada Ogos.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Comment