Stephen Curry menawarkan diri untuk menjadi kedi Collin Morikawa selepas pemain Amerika Syarikat (AS) itu menawan Kejohanan PGA AS.

Morikawa melakukan enam di bawah 64 dalam pusingan akhir di TPC Harding Park, San Francisco untuk memenangi kejuaraan utama pertamanya dengan dua pukulan malam tadi.

Bintang bola keranjang Golden State Warriors, Curry, antara yang menyaksikan kejayaan itu dan menyertai sidang media pemain berusia 23 tahun berkenaan.

Selepas bertanya soalan pertama, Curry -- yang pasukannya beraksi buruk dalam Kejohanan NBA musim 2019-20 dan tidak beraksi dalam kejohanan di dalam gelembung di Florida -- meneruskan soalan sama ada dia boleh menjadi pengganti kepada kedi Morikawa, J. J. Jakovac.

"Saya tidak melakukan apa-apa bagi tiga bulan ini. Jika anda memerlukan kedi atau pengganti, J. J. adalah seorang yang hebat tetapi jika anda memerlukan saya, saya boleh membantu," katanya.

Morikawa memberikan respons dengan berkata: "Sempurna. Saya sudah tidak sabar. Saya mahu melihat permainan anda."

Morikawa mempamerkan aksi hebat dalam pusingan akhir itu untuk memenangi gelaran utama pertamanya dan menjadi pemain ketiga paling muda memenangi PGA AS sejak perang dunia kedua di belakang Rorry McIlroy dan Jack Nicklaus.

Pemenang tiga kali jelajah PGA itu berbangga untuk tersenarai bersama nama-nama besar berkenaan.

"Ia pencapaian yang hebat. Ia amat gila kerana sewaktu permulaan karier profesional, saya melihat semua perkara untuk dibandingkan dengan Tiger (Woods) dan kini dapat melakukan semua perkara ini di samping Tiger adalah sesuatu yang benar-benar di tahap berbeza. Saya fikir kita semua tahu mengenainya.

"Tetapi apabila anda dibandingkan dengan legenda seperti Jack, Rory dan Tiger, tidak kira siapa antara mereka, jika anda ada dalam perbincangan itu, anda telah melakukannya dengan baik.

"Jadi, untuk mengetahui perkara itu, apa yang telah saya lakukan, apa yang saya lakukan sepanjang empat tahun di kolej, benar-benar amat bernilai.

"Tetapi ia adalah satu perasaan yang lebih baik di dalam hati saya untuk menamatkannya, mendapatkan ijazah perniagaan saya, menjadi graduan, berada di sini dengan mengetahui bahawa saya sudah bersedia dan menyedari bahawa ia tidak mustahil.

"Anda sedar apabila anda berasa bersedia, anda bersedia tetapi untuk berada dalam satu perbincangan dengan mereka, ia amat istimewa dan ya, anda tahu, saya sudah bersedia untuk yang seterusnya," katanya.