Pelumba domestik, Akmal Hakim Zakaria, menjadi taruhan Team Sapura Cycling (TSC) dalam Kejohanan Lebuhraya Kebangsaan di Melaka, bermula Jumaat ini ekoran ketiadaan barisan pelumba senior.

TSC tidak pernah menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki yang didominasi pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) sejak 2015.

TSC mempertaruhkan pelumba muda ekoran ketiadaan raja bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Muhammad Nur Aiman Zarif, yang mengalami masalah kesihatan sementara Ahmad Zawawi Azman melangsungkan perkahwinan.

Akmal menjadi harapan terbaik ekoran reputasi selaku naib juara kejohanan kebangsaan, tahun lalu selain laluan perlumbaan sejauh 180 kilometer yang lebih berpihak kepada pelumba domestik.

"Ia merupakan perlumbaan yang agak mencabar, saingan kali TSG sudah pasti bakal menurunkan barisan terbaik namun dengan pilihan pelumba yang terpilih dan saya akan berusaha untuk bergelar juara," kata Akmal.

"Kami masih tidak mengetahui apa yang berlaku dalam perlumbaan nanti, setiap perancangan telah dibuat dan saingan kali ini sudah pasti menguji kekuatan mental dan fizikal," kata pendaki TSC, Muhsin Al-Redha Misbah.

TSC berpeluang mencipta sejarah baru jika cemerlang pada kejohanan kebangsaan 2020 yang jadi saingan terakhir mereka musim ini.

Mereka kini menghuni ranking pertama pasukan terbaik Asia dengan 1119 mata, kelebihan hampir 400 mata berbanding TSG selaku pencabar terdekat.

"Sebab itu kami memberikan keutamaan kepada saingan Kejohanan Kebangsaan kerana ia menawarkan mata yang banyak. Kami kekal untuk memastikan sebagai pasukan terbaik Asia bagi tahun 2020," kata pengurus TSC, Ahmad Sayuti Zahit.