Skuad karate negara hanya selangkah lagi untuk ke Sukan Olimpik Tokyo buat kali pertama namun mereka terpaksa berehat setahun daripada kejohanan kompetitif ekoran pandemik Covid-19.

Atas sebab itu, jurulatih skuad negara, S. Mahendran, akan menguji tahap prestasi anak buahnya dalam kejohanan simulasi yang juga aksi sulung mereka, Isnin depan.

Mahendran menggalas tanggungjawab berat membimbing dua atlet yang sudah layak ke saingan kelayakan Olimpik tahun depan Mei 2021 di Paris iaitu R. Shamendran dan Prem Kumar.

Situasi semasa menggusarkan bekas jaguh negara itu apabila kesuntukan masa untuk mengembalikan prestasi anak buahnya di tahap terbaik sebelum terbang ke Paris.

Kejohanan dalaman itu hanya akan membabitkan skuad karate negara dan Mahendran harap ia dapat dianjurkan lagi dengan penyertaan daripada atlet seluruh negeri.

"Tiada kejohanan bagi tahun ini, jadi kami membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan tahun depan sementara kejohanan dalaman akan membantu menilai prestasi semasa," katanya.

Sebelum ini, dua tonggak negara tersebut mengalami kecederaan namun Mahendran lega selepas Sharmendran dan Prem Kumar sudah mampu memulakan latihan lebih intensif.

"Mereka telah pulih daripada kecederaan. Tempoh rehat panjang ini akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk kembali ke tahap terbaik selepas ini."