KBS yakin sukan kembali rancak dengan cadangan SOP kukuh 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Disember 2020 91
 KBS yakin sukan kembali rancak dengan cadangan SOP kukuh 
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yakin permohonan skuad badminton negara untuk menyertai Kejohanan Terbuka Thailand, awal bulan depan, tidak akan mendapat sebarang kekangan berdasarkan pembentangan prosedur operasi standard (SOP) yang kukuh.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sedang meneliti rapi cadangan pembentukan gelembung sukan sebelum dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Selasa lalu.

"Mereka sudah mengemukakan pelan tentang bagaimana (atlet negara) mereka akan pergi dan kembali termasuk soal kuarantin, saya yakin keputusan ini akan diberikan (ditentukan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Permohonan ini bergantung sepenuhnya kepada rayuan kami kepada imigresen," katanya.  

Beliau ditemui dalam Program "Malaysia Book of Record" menimbang bola dengan beberapa anggota badan selama seminit oleh pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Dainnel Aqashah Rakmatulla, di Lobi Menara KBS, Putrajaya, hari ini. 

Saingan di Eropah menyaksikan penonton sudah mula dibenarkan ke stadium untuk perlawanan bola sepak dengan SOP yang ketat seperti pengambilan suhu di pintu masuk, pemakaian pelitup muka, tiada sentuhan ketika meraikan jaringan selain hanya 2,000 tempat penyokong diperuntukkan.

KBS sedang meneliti konsep yang diguna pakai itu sebelum diterapkan di Malaysia.

"Gelembung sukan ini perlu dilakukan (dipastikan) supaya tiada sebarang aktiviti kejohanan tertentu dalam kalendar 2021 terhalang (bertembung).

"Kami akan menggunakan model-model dari luar negara tetapi bukan semuanya boleh diadaptasi di sini.

"Apa pun, saya sudah nyatakan dalam parlimen bahawa (tindakan) menghentikan sukan adalah isyarat yang salah kepada masyarakat," katanya lagi.

Namun, harapan untuk Cub Prix dilangsungkan dalam masa terdekat agak tipis memandangkan ia masih tertakluk kepada keputusan akhir MKN.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment